Jangan lebih lajak dari laju
Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

SETIAP insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa.
Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadang-kala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi. Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa.


Bak kata Nabi s.a.w: “Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani). Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang.

Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus. Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian.

Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

DOSA PAHALA
Hanya Allah dan rasulNya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli nereka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu.


Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah. Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya.

Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa. Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka.

Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain. Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me’neraka’ seseorang hanya kerana satu dosa.

Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me‘neraka’kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan. Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah. Jangan melampau dalam menghukum orang lain.

Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini. “Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari)

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan RasulNya?. Tidakkah Rasulullah s.a.w sendiri bersabda: “Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasulNya. Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya.

Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya. Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasulNya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum muslimin dihina dan dianiayai.

Ya, Rasulullah s.a.w melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan ‘terlebih lajak daripada laju’.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seeorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian.

Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda : “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang.

Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim). Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

RAHSIA
Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya.

Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang-orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah.
Demikian mereka yang ditetapkan nereka oleh Allah dan rasulNya seperti Iblis, syaitan, Fir’aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.

Orang yang Allah dan rasulNya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus.

Urusan setiap insan dengan Tuhannya. Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat redha, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.


Sumbangan MStar OnLine

JUMAAT HARI KEBESARAN UMAT ISLAM

JIKA orang Yahudi selalu bermegah dengan hari Sabtu sebagai hari kebesaran mingguan mereka, orang Islam pula dengan hari Jumaat yang disifatkan penghulu segala hari dan hari raya mingguan umat Muslimin.

Jumaat mendapat penghargaan istimewa berbanding hari lain sehingga dalam al-Quran dinamakan satu surah iaitu al-Jumu'ah yang diturunkan di Madinah dengan 11 ayat."Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (al-Jumu'ah:9)

Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ia dinamakan surah al-Jumu'ah (hari Jumaat) kerana pada ayat 9, Allah Taala memerintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan urusan kerja masing-masing seperti berjual beli.

Kitab itu menerangkan, dalam ayat terbabit Allah Taala menetapkan hari Jumaat sebagai hari besar mingguan bagi umat Muhammad s.a.w serta memerintahkan supaya mengadakan satu solat khusus menandakan kebesaran hari Jumaat menggantikan sembahyang Zuhur."Dengan ayat ini dan berikutnya Allah Taala perintahkan umat Islam segera ke tempat solat Jumaat sebaik saja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja lain untuk mendengar khutbah dan mengerjakan solat Jumaat."Selesai solat Jumaat, mereka digalakkan untuk meneruskan usaha mencari rezeki sambil mengingati Allah."Mereka yang mematuhi ajaran Allah akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat," terang kitab itu.

Nabi s.a.w juga melalui hadisnya ada menjelaskan kemuliaan hari Jumaat sebagai hari raya mingguan umat Islam seperti dalam beberapa hadis yang dinukilkan dari kitab Ihya Ulumiddin karya Imam al-Ghazali.Diriwayatkan Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah, maksudnya: "Bahawa ahli dua kitab itu (orang Yahudi dan Nasrani), diberikan kepada mereka hari Jumaat, maka bertengkarlah mereka, lalu berpaling daripadanya. Dan diberi petunjuk kita oleh Allah Taala untuk menerima hari Jumaat itu dan dikemudiankan oleh Allah memberikannya kepada umat ini dan dijadikannya menjadi hari raya bagi mereka.

Maka adalah umat ini menjadi manusia yang lebih utama didahulukan dan ahli kedua kitab itu menjadi pengikutnya."Melalui hadis lain Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari ialah hari Jumaat. Pada hari Jumaat, dijadikan Adam a.s., dia dimasuk ke syurga, diturunkan ke bumi, diterima taubatnya, dia meninggal dan berdirinya kiamat. Adalah hari Jumaat pada sisi Allah itu hari kelebihan. Begitulah hari Jumaat dinamakan oleh kalangan malaikat di langit iaitu hari memandang kepada Allah Taala dalam syurga." (Diriwayatkan Muslim dari Abu Hurairah)Al-Ghazali dalam kitab terbabit berkata, hari Jumaat adalah hari besar dan agama Islam dibesarkan (dimuliakan) oleh Allah dengan sebab hari berkenaan.

Menurutnya, orang Islam dikhususkan dengan hari berkenaan dan diharamkan orang Islam melakukan urusan duniawi, malah setiap perbuatan yang menghalangi mereka daripada menghadiri masjid menunaikan solat Jumaat.Nabi Muhammad s.a.w bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan atasmu solat Jumaat pada hariku ini, pada tempatku ini." (Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Jabir)Hadis berkenaan secara tegas memaklumkan kepada orang Islam mengenai kewajipan meraikan keistimewaan hari yang mulia itu dengan melakukan solat Jumaat.

Sesiapa yang berkewajipan, tetapi tidak menunaikannya dikira berdosa.Malah, Rasulullah s.a.w mengingatkan mereka yang sengaja meninggalkannya melalui sabdanya bermaksud: "Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa halangan, nescaya dicap oleh Allah pada hatinya." (Riwayat Ahmad)Satu kisah diceritakan. "Datang seorang lelaki kepada Ibnu Abbas, menanyakan mengenai orang yang mati tidak menghadiri Jumaat dan solat Jumaat.Lalu jawab Ibnu Abbas: "Dalam neraka."Orang itu berulang kali menemui Ibnu Abbas selama sebulan lamanya, menanyakan yang demikian.

Tetapi Ibnu Abbas tetap menjawab: "Dalam neraka."Daripada hadis yang diriwayatkan Anas daripada Nabi s.a.w bahawa Nabi bersabda: "Datang kepadaku Jibril a.s dan pada tangannya sebuah cermin putih, seraya berkata: 'Inilah Jumaat, yang diwajibkan atas engkau oleh Tuhan engkau, untuk menjadi hari raya bagi engkau dan umat engkau sesudah engkau.'"Lalu aku berkata: "Apakah yang ada untuk kami pada hari Jumaat itu?"Jawab Jibril: "Engkau mempunyai waktu yang baik. Sesiapa berdoa padanya kebajikan, nescaya dianugerahkan dia oleh Allah atau dia tiada memperoleh bahagian, maka disimpankan oleh Allah bahagiannya yang lebih besar."Atau berlindung ia daripada kejahatan yang telah dituliskan kepadanya, nescaya dilindungi Allah yang lebih besar daripada kejahatan itu.

Hari Jumaat adalah penghulu segala hari pada kita. Kita bermohon kepada Allah pada hari akhirat, akan menjadi hari kelebihan."Lalu aku bertanya: "Mengapa demikian?"Maka jawab Jibril a.s: "Sesungguhnya Tuhan engkau Azzawajalla telah menjadikan dalam syurga sebuah lembah yang luas, dari kasturi putih.

Maka apabila datang hari Jumaat, nescaya turunlah ia dari syurga yang tinggi di atas kerusinya.Lalu jelaslah ia kepada mereka, sehingga mereka memandang kepada wajahnya yang mulia." (Diriwayatkan as-Syafie dan at-Tabrani daripada Anas, isnad daif)Dalam hadis lain dinyatakan: "Bahawa tiap-tiap hari Jumaat Allah Azzawajalla mempunyai enam ratus ribu orang yang dimerdekakan dari api neraka."

Pada hadis yang diriwayatkan Anas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila selamatlah hari Jumaat, nescaya selamatlah segala hari."Bersabda Nabi s.a.w, maksudnya: "Bahawa neraka jahim itu menggelegak pada tiap-tiap hari sebelum tergelincir matahari pada tengah hari di puncak langit. maka janganlah kamu mengerjakan solat pada saat itu, selain hari Jumaat. Maka hari Jumaat itu adalah solat seluruhnya dan neraka jahanam tiada menggelegak padanya."

Berkata Kaab: "Bahawa Allah Azzawajalla melebihkanMakkah dari segala negeri, Ramadan dari segala bulan, Jumaat dari segala hari dan Lailatul Qadar dari segala malam. Dan dikatakan bahawa burung dan haiwan yang berjumpa satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan: "Selamat, hari yang baik."Nabi bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malamnya, nescaya dituliskan Allah pahala syahid dan dipeliharakan Allah daripada fitnah kubur."

Di dalam buku Fatwa-fatwa Terkini oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, Syeikh Abdullah bin Abdurahman al-Jibrin dan Syeikh Saleh bin Fauzan al-Fauzan ada menyatakan hari raya yang disyariatkan sudah diketahui kaum Muslimin iaitu Aidilfitri dan Aidiladha serta hari raya mingguan.Hari raya mingguan yang dimaksudkan itu ialah hari Jumaat. Dengan ini tidak ragu lagi Jumaat adalah hari yang cukup besar dalam Islam.
Suara Yang Didengari Mayat


Yang Akan Ikut Mayat Adalah Tiga: Keluarga, Hartanya, Dan Amalnya.Ada Dua Yang Kembali Dan Satu Tinggal Bersamanya;Keluarga Dan Hartanya Akan KembaliSementara Amalnya Akan Tinggal Bersamanya.


Ketika Roh Meninggalkan Jasad...


Terdengar Suara Dari Langit Memekik,

"Wahai Fulan Anak Si Fulan..

Apakah Kau Yang Telah Meninggalkan Dunia,Atau Dunia Yang Meninggalkanmu

Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Harta Kekayaan,Atau Kekayaan Yang Telah Menumpukmu

Apakah Kau Yang Telah Menumpuk Dunia,Atau Dunia Yang Telah Menumpukmu

Apakah Kau Yang Telah Mengubur Dunia,Atau Dunia Yang Telah Menguburmu."


Ketika Mayat Tergeletak Akan Dimandikan....


Terdengar Dari Langit Suara Memekik,

"Wahai Fulan Anak Si Fulan...

Mana Badanmu Yang Dahulunya KuatMengapa Kini Terkulai Lemah

Mana Lisanmu Yang Dahulunya FasihMengapa Kini Bungkam Tak Bersuara

Mana Telingamu Yang Dahulunya MendengarMengapa Kini Tuli Dari Seribu Bahasa

Mana Sahabat-Sahabatmu Yang Dahulunya SetiaMengapa Kini Raib Tak Bersuara


Ketika Mayat Siap Dikafan...


Suara Dari Langit Terdengar Memekik,

"Wahai Fulan Anak Si Fulan

Berbahagialah Apabila Kau Bersahabat Dengan Ridha Allah

Celakalah Apabila Kau Bersahabat Dengan Murka Allah

Wahai Fulan Anak Si Fulan...

Kini Kau Tengah Berada Dalam Sebuah PerjalananNun Jauh Tanpa Bekal

Kau Telah Keluar Dari RumahmuDan Tidak Akan Kembali Selamanya

Kini Kau Tengah Safar Pada Sebuah Tujuan Yang PenuhPertanyaan."


Ketika Mayat Diusung....


Terdengar Dari Langit Suara Memekik,

"Wahai Fulan Anak Si Fulan..Berbahagialah Apabila Amalmu Adalah Kebajikan

Berbahagialah Apabila Matimu Diawali Tobat

Berbahagialah Apabila Hidupmu Penuh Dengan Taat."


Ketika Mayat Siap Dishalatkan....


Terdengar Dari Langit Suara Memekik,

"Wahai Fulan Anak Si Fulan..

Setiap Pekerjaan Yang Kau Lakukan Kelak KauLihat Hasilnya Di Akhirat

Apabila Baik Maka Kau Akan Melihatnya BaikApabila Buruk, Kau Akan Melihatnya Buruk."


Ketika Mayat Dibaringkan Di Liang Lahat....


Terdengar Suara Memekik Dari Langit,

"Wahai Fulan Anak Si Fulan...

Apa Yang Telah Kau Siapkan Dari Rumahmu Yang Luas Di DuniaUntuk Kehidupan Yang Penuh Gelap Gulita

Di SiniWahai Fulan Anak Si Fulan...

Dahulu Kau Tertawa Kini Dalam Perutku Kau Menangis

Dahulu Kau Bergembira Kini Dalam Perutku Kau Berduka

Dahulu Kau Bertutur Kata Kini Dalam Perutku KauBungkam Seribu Bahasa."


Ketika Semua Manusia Meninggalkannya Sendirian....


Allah Berkata Kepadanya,

"Wahai Hamba-Ku.....

Kini Kau Tinggal Seorang DiriTiada Teman Dan Tiada KerabatDi Sebuah Tempat Kecil, Sempit Dan Gelap..

Mereka Pergi Meninggalkanmu..

Seorang Diri Padahal,Karena Mereka Kau Pernah Langgar PerintahkuHari Ini,...

Akan Kutunjukan Kepadamu KasihSayang-Ku Yang Akan Takjub Seisi AlamAku

Akan Menyayangimu Lebih Dari KasihSayang Seorang Ibu Pada Anaknya.

Kepada Jiwa-Jiwa Yang Tenang AllahBerfirman,

"Wahai Jiwa Yang Tenang Kembalilah KepadaTuhanmu Dengan HatiYang Puas Lagi Diridhai-Nya

Maka Masuklah Ke Dalam Jamaah Hamba-Hamba-Ku

DanMasuklah Ke Dalam Jannah-Ku

Jangan meniru seperti Yahudi

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya." (Ahmad) HuraianPara ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

iii. Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat.

Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura'. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu`a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram.

Bahkan Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
AMALAN SEPANJANG BULAN SYAABAN

Bulan Syaaban adalah bulan mulia iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab padanya Nabi Muhammad s.a.w. melakukan Isra' dan Mikraj dan bulan Ramadhan dimana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadhan salah satu dari rukun Islam yang mulia. Ketika bulan tersebut di hubungkait yang rapat kerana sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadhan.
Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan dari segala dosa dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati dari segala cacat dan bulan Ramadhan pula untuk memberi penerangan hati sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: ''Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis al-selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.
Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ''Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ''Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.
Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.
Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim dengan firmannya:
Yang bermaksud: Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulaang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke kaabah) itu adalah perintah yang benar dari tuhan mereka, dan Allah s.w.t. tidak sekali-kali lali akan apa yang mereka lakukan.
Oleh sebab bulan Syaaban adalah diantara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan yang tertentu, maka wajar sekali jangan kita biarkannya berlalu begitu sahaja tanpa mengerjakan amal-amal soleh yang telah dilakukan oleh nabi Muhammad s.a.w..
Diantara amalan-amalan yang sewajarnya dilakukan oleh kaum muslimin didalam sepanjang bulan Syaaban adalah seperti berikut:
Berpuasa Sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud: Dari Aishah r.a., katanya : " ..... Aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sebulan genap, sesuatu bulan melainkan bulan Ramadhan, dan aku tidak melihatnya mengerjakan puasa pada bulan yang lain lebih banyak daripada yang dikerjakan dalam bulan Syaaban ".
Banyak melakukan amalan takwa dan taat.
Menahan dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: " Barangsiapa mengagungkan bulan Syaaban dan bertakwa kepada Allah s.w.t. dan melakukan ketaatan kepadanya dan menahan diri berbuat maksiat, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya dan memberi keamanan kepadanya dari kemalangan-kemalangan mahupun penyakit-penyakit yang terjadi pada tahun itu seluruhnya ".
Menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan ibadat-ibadat seperti membaca Al-Quran, bertaubat, beristiqafar, berzikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: " Barangsiapa menghidupkan malam daripada dua hari raya dan malam pertengahan daripada bulan Sya'ban, hatinya tidak akan mati, manakala hati-hati orang lain mati ".
Memperbanyakkan sembahyang-sembahyang sunat seperti sembahyang sunat hajat, sunat tahajud, sunat taubat, sunat tasbih dan lain-lain lagi.
Bersedekah bagi menolong meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim.
Melakukan amal-amal kebajikan serta memohon keampunan dua ibu-bapa.
Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Memohon restu kehadrat Allah s.w.t. semoga terhindar dari segala bala bencana, mala petaka dan huru-hara bagi diri sendiri, ahli keluarga, kaum muslimin dan muslimat, bangsa dan negara.
Berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. disetiap bidang amal kebajikan yang kita laksanakan.
Beramallah menurut keimanan masing-masing kalau tidak dapat dilaksanakan semua janganlah ditinggalkan semuanya, lebihan umur kita yang masih tinggal sedikit lagi, hampir sampai ke penghujungnya. Rebutlah amal-amal sebanyak-banyak yang boleh, bertaubatlah kepada Allah dosa-dosa yang banyak dengan segala kesungguhan untuk bekal kita di akhirat, kerana yang akan pergi tidak pulang lagi.“ Sesiapa yang menghendaki(dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikkan dunia itu (sekadar yang kami tentukan) dan ia tidak akan memperolehi sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah as-Syura: 30).
Nisfu Syaaban dan Ramadan

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

Membaca yasin adalah antara amalan umat Islam apabila menyambut nisfu Syaaban.
SEKARANG kita sudah semakin hampir ke penghujung Syaaban dan semakin mendekati Ramadan al-Mubarak, alhamdulillah.Sesudah kita meraikan Rejab dengan kelebihan Israk dan Mikrajnya, kita diberi peluang menghayati bulan Syaaban dengan segala kelebihannya seperti yang telah kita himbau di minggu lepas, terutamanya kelebihan malam nisfu Syaaban yang baru kita lalui.Tidak beberapa hari lagi, kita akan, insya-Allah memasuki gerbang Ramadan yang penuh keberkatan dan keistimewaan termasuklah malam yang paling mulia, lailatul qadar. Semoga kita menemukannya pada tahun ini. Amin.Jelas kelihatan bagaimana Rejab dan Syaaban dijadikan sebegitu rupa agar berperanan sebagai kelas persediaan untuk memasuki madrasah Ramadan termasuklah yang baru kita tempuhi iaitu malam nisfu Syaaban yang mana Rasulullah SAW amat menghargainya dan tidak melepaskan peluang menghidupkannya dengan munajat dan qiam.Ada kalangan para ulama yang berpandangan bahawa malam nisfu Syaaban berkedudukan di tangga kedua sebagai malam yang paling mulia di sisi Tuhan selepas lailatul qadar. Bersungguh-sungguh menghidupkan malam nisfu Syaaban turut bermakna kita mencalonkan nama-nama kita untuk 'meminang' lailatul qadar.Di antara kebesaran dan kehebatan sesuatu perkara ialah banyaknya nama dan gelaran baginya. Nisfu Syaaban turut memiliki ciri ini. Ia digelar oleh para pemuka ulama dari kalangan salaf dan khalaf dengan pelbagai nama yang mulia termasuklah Lailah al-Barakah (Malam Keberkatan), Lailah al-Ghufran (Malam Pengampunan) dan Lailah al-'Itq min al Nar (Malam Pembebasan Dari Api Neraka) Lailah al Baraah (Malam Pelepasan).Semua nama ini bukanlah gelaran kosong kerana memang perkara-perkara inilah yang ditawarkan dan diburu pada malam tersebut.
Merayu bantuanNisfu Syaaban adalah antara sebaik-baik malam untuk kita bermesra, mengadu hal dan merayu bantuan dan pertolongan Tuhan. Maka sudah menjadi kebiasaan para solehin umat ini mengikut jejak langkah Penghulu mereka yang telah meninggalkan contoh yang agung dalam memuliakan malam yang penuh mustajab dan berkat ini.Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq ibn Humam daripada Ali ibn Abu Talib r.a daripada Nabi SAW bersabda: "Apabila tiba malam nisfu Syaaban, hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya kerana Allah SWT menurunkan perintah-Nya pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari. Lalu Allah berfirman, "Adakah terdapat di kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Aku ampunkannya. Adakah terdapat di kalangan mereka yang memohon rezeki, maka akan Aku turunkan rezeki untuknya. Adakah di kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Aku sejahterakannya. Adakah di kalangan mereka begini dan adakah di kalangan mereka begini sehinggalah menjelangnya fajar". (Dikeluarkan oleh Ibnu Majah di dalam Sunannya)Dikeluarkan oleh Imam al-Dar al-Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah r.a, beliau berkata: "Pada suatu malam, aku kehilangan Rasulullah maka aku pun keluar mencarinya dan aku menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda, "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah berkata: Aku berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah! Aku cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain". Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah SAW turun (menurunkan rahmat atau perintah-Nya) ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab".Al Dar Qutni telah meriwayatkan juga hadis Bakar ibn Sahl daripada Hisyam ibn 'Urwah daripada bapanya, daripada Aisyah r.a: "Malam Nisfu Syaaban adalah malam giliranku bersama Rasulullah SAW. Pada malam itu, Rasulullah SAW bermalam di sisiku. Tatkala tengah malam, aku kehilangan Baginda SAW dari alas tempat tidurku. Demi Allah! Alas kain tempat tidurku itu bukanlah kain bulu yang ditenun dengan sutera, atau kapas". Aisyah ditanya, "kain apakah itu?" Jawab Aisyah, "Ia adalah kain bulu dan isinya daripada bulu unta. Maka aku mencarinya di bilik-bilik isterinya yang lain tetapi aku tidak menemuinya. Lalu aku kembali semula ke bilikku, dan aku mendapati Baginda SAW seperti sehelai baju yang jatuh ke tanah sedang sujud dan Baginda SAW menyebut di dalam sujudnya: "Telah sujud kepada-Mu jasad dan wajahku, telah beriman denganMu kalbuku. Inilah tanganku dan jenayah ke atas diriku yang telah aku lakukan dengannya. Wahai Tuhan Yang Maha Besar yang diharapkan oleh segala yang besar! Ampunilah dosaku yang besar. Telah sujudlah wajahku kepada Allah yang menciptakannya, membentukkan rupa parasnya, memberikan pendengaran dan penglihatannya".Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidak terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud a.s: "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud kepada-Nya".Kemudian Baginda SAW mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka".Aku mendengar Baginda SAW membaca dalam sujudnya: "Aku memohon perlindungan dengan keampunan-Mu dari balasan azab-Mu dan aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, aku memohon perlindungan dengan-Mu daripada azab-Mu. Sungguh besar Zat-Mu yang tidak terhitung pujiannya ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas Zat-Mu".Solat tasbihItulah suatu gambaran bagaimana Nabi kita SAW begitu menghayati dan memuliakan malam nisfu Syaaban. Sunnah baginda ini telah menyuntik inspirasi kepada para pemuka ulama umat ini untuk turut menghidupkan malam tersebut.Selain itu, kita juga dianjurkan agar menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan solat tasbih. Menerusi hadis yang panjang itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa solat tasbih adalah antara 10 perkara yang jika dilakukan akan mengampunkan dosa yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan disengajakan, yang kecil mahupun besar malah, yang dilakukan secara sembunyi atau terang-terangan.Malah baginda SAW turut menyarankan agar kita menunaikan solat tasbih setiap hari, seminggu sekali, sebulan sekali, setahun sekali atau setidak-tidaknya seumur hidup sekali.Menurut Sheikh Soleh al-Jaafari al-Azhari, mantan Imam Besar dan tenaga pengajar di Masjid al-Azhar, malam tersebut juga boleh dihidupkan dengan pelbagai jenis ibadah lain untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW.Namun Sheikh Salim al-Sanhuri al-Maliki lebih mengutamakan solat tasbih kerana galakan yang kuat daripada Nabi SAW kepada bapa saudaranya, al-Abbas r.a dan pahalanya yang amat besar.Adalah amat tidak wajar jika kebiasaan sesetengah umat untuk menghidupkan malam tersebut dengan cara tertentu dijadikan pertikaian termasuk atas alasan cara tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.Oleh kerana galakan Nabi SAW itu umum sifatnya maka terserahlah kepada umat untuk memilih cara yang paling baik sesuai dengan kemampuan mereka. Tidak peliklah misalannya jika mereka memilih untuk membaca surah yasin pada malam itu kerana surah tersebut adalah yang paling mudah dibaca oleh kebanyakan orang dan pada masa yang sama adalah antara surah yang teristimewa dalam al-Quran.Alasan bahawa Rasulullah SAW tidak melakukannya tidak semestinya menunjukkan ke atas pengharaman sesuatu kerana kaedah syariat ada al-Tarku la yuntiju Hukman yang bermaksud bahawa setiap perkara yang ditinggalkan oleh Nabi SAW tidak membawa implikasi hukum.Oleh itu apa-apa yang tidak pernah dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak bercanggah dengan syarak dan tidak disertai larangan daripada Baginda SAW, tidaklah menunjukkan pengharamannya.Menerusi sekian banyak hadis dan athar yang merakamkan bagaimana Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh yang lain memburu peluang menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan berdoa dan beribadat kepada Allah SWT, jelas kepada kita tentang keistimewaan dan kelebihan malam yang penuh berkat ini.Bagi mereka yang telah ditaufiqkan menghidupkannya pada tahun ini, tahniah kita ucapkan dan semoga amalan mereka ditempatkan ditempat yang mulia di sisi Tuhan, rabbul jalil.Bagi mereka yang ketinggalan atau tertinggal pada kali ini, wajarlah mereka merasa kesal dan menyesal di atas kelalaian mereka itu. Mungkin sahaja jika kekesalan mereka itu benar-benar jujur dan mendalam ia akan turut melayakkan mereka mendapatkan ganjaran seolah-olah mereka telah pun turut memuliakan malam tersebut.Semoga kedua-dua kelompok ini akan dikira layak untuk memuliakan malam ini di tahun-tahun mendatang serta dipilih untuk menjadi calon-calon terbaik untuk lailatul qadar dan madrasah Ramadan yang bakal tiba. Amin ya rabbal alamin.
KEISTIMEWAAN BULAN RAMADAHAN
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Kehadiran bulan ramadan merupakan satu rahmat daripada ALLAH. Ia merupakan bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini. Bulan Ramadan telah dimuliakan oleh ALLAH dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan ALLAH yang lain.


Antara keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah:

1. Disyariatkan Ibadah Puasa
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu." ­- Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya , hadis no: 9133.

2. Bulan Diturunkan Al-Quran
Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman ALLAH S.W.T:"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." - Surah al-Baqarah: 185.

3. Pintu Syurga Terbuka Luas
Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. Sabda Rasulullah s.a.w :"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1898.

4. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA)
Terbuka LuasPada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079.

5. Pintu Langit Terbuka Luas
ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA. Sabda Rasulullah s.a.w :"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat
Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w:"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

7. Syaitan dan Jin Dirantai
Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.Sabda Rasulullah s.a.w:"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618.Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini? Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata:"Apabila semua syaitan terbelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain (hasutan) syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan." - Rujuk Fath al-Baari Syarh Sahih al-Bukhari, Tahqiq oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta (1997), jil. 11, ms. 43.Mungkin ada yang akan tertanya-tanya tentang kebenaran fakta kewujudan syaitan mahupun jin dari jenis manusia. Sebenarnya ALLAH sendiri telah memerintahkan kita agar berwaspada dan memohon perlindungan kepada-NYA dari hasutan kelompok seperti ini.Firman ALLAH S.W.T:"Katakanlah (wahai Muhammad): AKU berlindung kepada (ALLAH) Pemelihara sekalian manusia, yang Menguasai sekalian manusia, TUHAN yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia." – Surah al-Nas: 1-6.Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya maksiat dan kemungkaran masih wujud pada bulan Ramadan yang mulia ini. Malah, pada bulan ini kita sebenarnya berkesempatan untuk berkenalan dengan spesis syaitan atau jin dari kalangan kaum manusia. Ya! kita dapat mengenali spesies ini melalui sikap mereka yang enggan mentaati perintah ALLAH. Semoga kita semua terhindar dari tergolong dalam kelompok yang hina ini.

8. Pada Bulan Ini Terdapat Lailatul Qadar
Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar.Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Apakah itu Lailatulqadar?

Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu. Selain itu, apa sahaja yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya ditetapkan oleh ALLAH pada malam itu.

Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Sya’ban merupakan malam ALLAH menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya. Disebabkan oleh kekeliruan ini, mereka telah menciptakan pelbagai ibadah yang khusus seperti membaca surah Yasin sebanyak tiga kali diselang-selikan dengan doa-doa yang tertentu agar tahun yang mendatang bakal lebih baik dari tahun itu. Ternyata amal ibadah itu termasuk bid’ah paling mungkar kerana tidak ada contoh daripada Rasulullah s.a.w dan wajib ditinggalkan. Rasulullah s.a.w telah mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:

"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah) serta seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan termasuk kategori bid’ah dan semua bid'ah itu menyesatkan." - Hadis riwayat Muslim
dalam Sahihnya, hadis no: 867.

Keistimewaan malam yang penuh berkat ini diperjelaskan lagi oleh ALLAH melalui firman-NYA:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh berkat. (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran) pada malam yang berkat itu, di samping menjelaskan (kepada malaikat) semua perkara yang mengandungi hikmah serta takdir yang akan berlaku." – Surah al-Dukhaan: 3-4.

Bilakah Berlakunya Lalitaulqadar?

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan."
- Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no: 2017.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir."
- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1165.

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Ini kerana, pada sepuluh malam terkahir inilah Rasulullah s.a.w mempergiatkan ibadahnya.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1174.

Ibadah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berada di bulan Ramadan, antaranya mempergiatkan ibadah qiamullail (solat malam), memperbanyakkan doa, berzikir, membaca al-Quran dan amal soleh yang lain. Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat):

"Ya ALLAH! Sesungguhnya AKU berlindung dengan keredhaan-MU daripada segala kemurkaan-MU. AKU juga berlindung dengan kemaafan-MU daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. AKU juga berlindung dengan Zat-MU yang tidak terhitung segala nimat dan belas kasihan yang telah ENGKAU berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-MU seperti mana pujian yang layak bagi Zat-MU." – Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad dan selainnya.